Sunday, 1 March 2015

1.0 Pengenalan Isu Dan Cabaran Semasa

1.0 PENGENALAN.

Negara Malaysia memberikan penekanan berat terhadap pendidikan kerana percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangunkan dari segi pembangunan ekonomi,sosial dan kerohanian,moral dan etika ke arah membentuk satu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, liberal dan dinamik. Ini juga merupakan misi pendidikan untuk membentuk sistem pendidikan bermutu dan bertaraf dunia demi merealisasikan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia. (Akta Pendidikan 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia,2001)



Sejak zaman 1970-an lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pembaharuan dalam aspek kurikulum. Dalam hal ini, gurulah yang bertindak sebagai agen perubahan untuk menjana transformasi pendidikan negara demi melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi Wawasan 2020 yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr  Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.

Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan. Bertitik tolak daripada pelaksanaan KLSR tersebut, sistem pendidikan negara sering mengalami perubahan mengikut situasi semasa. Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah dengan memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.

 Namun begitu, KBSR telah disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala, terbaharu KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pembaharuan kurikulum yang dilakukan ini boleh dikatakan sebagai satu inovasi kurikulum yang utama atau reformasi yang menyeluruh.  

Sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat serta perubahan dan cabaran alaf ke-21, sistem Pendidikan Kebangsaan sentiasa diperkemas dan dibuat penambahbaikan dari masa ke masa. Proses yang dinamik dan berterusan dilaksanakan dalam pembangunan kurikulum ini bermatlamat untuk memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama.

No comments:

Post a Comment